Permohonan Pecah Bahagi Bangunan (Hakmilik Strata)

   
 

Penerangan ringkas

Hakmilik strata ialah hakmilik yang dikeluarkan kepada petak-petak dalam bangunan berbilang tingkat seperti rumah pangsa, pangsapuri, kondominium, kompleks komersial, kompleks serbaguna dan lain-lain. 

Hakmilik strata juga dikeluarkan bagi mana-mana tanah yang dipecah bahagikan kepada petak-petak tanah yang dipegang di bawah lot yang sama seperti rumah-rumah banglo, berkembar atau teres dalam skim komuniti berpagar. 

Tuan tanah diwajibkan membuat permohonan hakmilik strata dalam tempoh yang ditetapkan JIKA beliau telah menjual mana-mana petak dalam bangunan berbilang tingkat yang didirikan. Tempoh yang dimaksudkan adalah: 

6 bulan dari tarikh perjanjian jualbeli pertama atau 6 bulan dari tarikh Certificate of Completion and Compliance (CCC) dikeluarkan mengikut mana yang terkemudian.

 

Tatacara Permohonan

(i) Tatacara Permohonan Untuk Mendapatkan Hakmilik Strata 

1. Permohonan untuk mendapatkan hakmilik strata bagi bangunan atau bangunan dan tanah yang dibina dalam satu lot yang sama hendaklah menggunakan BORANG 1 ; dan 

2. Permohonan untuk mendapatkan hakmilik strata bagi mana-mana tanah untuk dipecah bahagi kepada dua bangunan atau lebih yang dipegang di bawah satu lot yang sama hendaklah menggunakan BORANG 1A. 

3. Bayaran yang dikenakan: 
a)Pembelian Borang 1 dan Borang 1A - Percuma 
b)Bayaran proses permohonan - RM10.00 sepetak dengan kadar Minima RM450.00 
c)Bayaran deraf pelan dan pendaftaran hakmilik - RM 40.00 satu hakmilik 


4. Bagi menentukan Nilai Unit Syer dalam skim strata formula pengiraan ini boleh digunakan untuk menentukan nilai unit syer bagi setiap petak dan petak sementara dalam skim strata. Nilai yang hendak diperuntukkan adalah berdasarkan keluasan petak atau harga jualan bagi sepetak. 


5. Jika pemilik tanah gagal membuat permohonan untuk mendapatkan hakmilik strata adalah melakukan perlanggaran Seksyen 8 (7) Akta Hakmilik Strata 1985 dan jika disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000.00 tetapi tidak lebih daripada RM100,000.00 dan didenda selanjutnya tidak kurang daripada RM100.00 tetapi tidak lebih daripada RM1,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu terus berlaku. 

(ii) Tatacara Permohonan Untuk Mengkelaskan Bangunan Sebagai Bangunan Kos Rendah 

1. Mana-mana bangunan di bawah skim kos rendah hendaklah mengkelaskan bangunan tersebut sebagai Bangunan Kos Rendah seperti mana kehendak Seksyen 10B Akta Hakmilik Strata dengan menggunakan JADUAL VII Kaedah 10 (1) Kaedah-kaedah Hakmilik Strata 1988. Permohonan ini diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

2. Satu Sijil Perakuan Bangunan Kos Rendah akan dikeluarkan di bawah Jadual VIII Kaedah 10(2) Kaedah-kaedah Hakmilik Strata 1988. 


3. Bayaran yang dikenakan: 
a)Pembelian Borang Permohonan - Percuma 
JADUAL VII Kaedah 10(1) 
b)Bayaran proses permohonan - RM10.00 
c)Penyediaan Sijil Perakuan Bangunan - RM 3.00 satu Kos Rendah 
[JADUAL VIII Kaedah 10(2)] 


(iii) Tatacara Permohonan Untuk Mendapatkan Permit Menggunakan Ruang Udara 

1. Jika terdapat binaan yang mengunjur keluar daripada sempadan lot di mana binaan ini terletak di atas tanah kerajaan atau tanah rizab seperti cucur atap (eave), kajang (awning) dan langkan (balcony), pemohon dikehendaki mengemukakan permohonan untuk mendapatkan permit menggunakan ruang udara di bawah Seksyen 75A Kanun Tanah Negara. 


2. Bayaran yang dikenakan: 

a)Pembelian BORANG PERMOHONAN - Percuma 
b)Bayaran proses permohonan - RM 70.00 
c)Bayaran permit Borang 4D - RM 10.00 bagi setiap permit setahun(tempoh permit adalah 21 tahun)

Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"