• Utama
  • Jadual Pembayaran Gaji 2018.

Sinar Online : 3 Januari 2018 : Dua penyelam TLDM selamatkan nelayan


Dua penyelam KD Sri Indera Sakti terjun ke laut untuk menyelamatkan Ah Seng yang menjerit meminta tolong selepas terjatuh dari bot. -Foto ihsan TLDM


LUMUT - Tindakan pantas dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan seorang nelayan yang terjatuh dari bot di perairan Lumut berhampiran Pangkalan TLDM, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.55 pagi, mangsa, Tan Ah Seng, 40, diselamatkan dua penyelam Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti, Bintara Muda Norshadaan Ab Ghani bersama Laskar Kanan Mohamad Firdaus Yunus,28, selepas bot yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan pada stereng.

Asissten Ketua Staf Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat Kepten Azman Rabani berkata, kejadian itu disedari dua anggota lain KD Sri Indera Sakti yang terdengar jeritan meminta tolong dan melihat mangsa berada di dalam laut di lambung kanan kapal dalam jarak kira-kira 30 meter.

Katanya, anggota tersebut serta merta membuat loud alarm vocal dan petugas kuartemaster (QM) kapal yang menerima isyarat mengambil tindakan pantas mencampakkan boya penyelamat dari Geladak Tambatan dan memaklumkan kepada Pegawai Bertugas Harian (PBH).

"PBH serta merta mengarahkan dua penyelam kapal iaitu Bintara Muda Norshadaan dan Laskar Kanan Mohamad Firdaus yang berada di tempat kejadian terjun dari Geladak Tambatan untuk menyelamatkan mangsa.

"Mangsa berjaya diselamatkan oleh kedua-dua penyelam kapal dan dibawa naik melalui jeti di himpitan 3/4 yang lebih sesuai memandangkan keadaan arus pada ketika itu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, pihaknya kemudian membawa mangsa ke kapal untuk diberikan rawatan kecemasan.

Katanya, mangsa dah disahkan selamat dan dibawa pulang oleh nelayan lain pada jam 12 tengah hari.

Sinar Online
Saifullah Ahmad
3 Januari 2018


Cetak   Emel

splwpk-search-function="splwpk-search-function"